http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/Hip/20080609073714/Article/
X-Gig platform bela nasib kumpulan indieOleh Farihad Shalla Mahmud (BERITA HARIAN, 9 Jun 2008)Usaha Xfresh ketengahkan bakat seni anak tempatan dapat pujian
STESEN radio Xfresh kini sudah mampu menarik nafas lega apabila hasrat mereka untuk membantu kumpulan indie menyerlahkan bakat mereka dengan menyediakan platform seperti X-Gig nampaknya mendapat sambutan apabila hampir seribu penonton menyaksikan acara hiburan yang julung kali diadakan itu.
Memilih lokasi yang agak strategik iaitu Republik yang terletak di pusat beli belah terkemuka, Sunway Pyramid Sabtu lalu, X-Gig yang bertemakan Selamatkan Muzik Kita menyaksikan tiga kumpulan indie baru iaitu Sam CF Band, Dance To The Radio dan The Peanuts mempamerkan bakat dan kebolehan mereka di hadapan peminat yang selama ini ternanti-nanti acara persembahan seperti ini.
Jika sebelum ini peluang mereka untuk mengadakan gig agak terbatas kerana terpaksa menghadapi pelbagai halangan termasuk persaingan dari penggiat seni luar, kini dengan adanya X-Gig, nasib mereka pasti akan terbela.
Pengurus Rancangan Xfresh, Nazri Noran ketika ditemui Hip berkata melihat kepada bentuk sambutan yang mereka terima, Xfresh percaya selepas ini banyak bakat baru dalam genre sebegini dapat ditemui.
ˇ°Sejak kami mengumumkan mengenai sesi Open Band ini, lebih 50 kumpulan berminat untuk menyertainya. Dan dari sini saya dapat merasakan yang kebanyakan kumpulan muzik underground ini begitu dahagakan persembahan sebegini.
ˇ°Lagipun kita mempunyai banyak bakat di luar sana yang masih belum ditemui. Mereka mempunyai masa hadapan yang cerah dalam bidang muzik. Cuma, kebanyakan mereka tidak tahu ke mana hendak dituju untuk mengembangkan potensi masing-masing.
ˇ°Pentas X-Gig menyediakan peluang dan ruang itu dengan harapan ia akan menjadi batu loncatan bagi mereka menapak lebih jauh dalam industri ini,ˇ± ujar Nazri.
Justeru, menurut Nazri, Xfresh bukan saja menyediakan platform untuk kumpulan baru ini membuat persembahan tetapi turut menyiarkan lagu nyanyian mereka di stesen berkenaan.
ˇ°Sebagai satu-satunya stesen muzik yang memainkan 100 peratus muzik Malaysia, Xfresh meneruskan perjuangan memartabatkan industri muzik negara dengan menyiarkan lagu terbaik hasil ciptaan anak tempatan.Jadi mereka bukan saja diberikan ruang untuk beraksi malah jika lagu ciptaan mereka itu berkualiti, kami tetap akan menyiarkannya.
ˇ®Dan kalau kita lihat, kebanyakan dari mereka ini mampu menghasilkan lagu genre sebegini dalam bahasa Melayu berbanding sebelum ini yang kebanyakannya lebih selesa menulisnya dalam bahas Inggeris,ˇ± ujar Nazri yang turut melahirkan rasa kagum dengan bakat yang ditonjolkan kumpulan pertama ini.
Tambahnya, jika segala-galanya berjalan lancar, mereka bukan saja memberi ruang kepada kumpulan indie tetapi juga akan melebarkannya kepada genre muzik yang lain.
ˇ°Sebelum ini kami juga ada memikirkan untuk memberi peluang kepada genre muzik lain untuk membuat persembahan di X-Gig ini. Pun begitu belum sempat idea ini dikemukakan, saya sudah menerima cadangan yang sama dari kumpulan hip hop, Altimet yang mahu kami menganjurkan gig buat mereka.
ˇ°Ini satu petanda baik buat kami dan Insya-Allah, kami akan berusaha untuk menjadikan impian itu sebagai satu kenyataan,ˇ± jelas Nazri sambil memberitahu yang gig ini akan menjelajah ke lokasi lain seperti Seremban (19 Julai) dan Pulau Pinang (9 Ogos).
Bukan sekadar membantu mereka mengetengahkan bakat yang sedia ada, malah Xfresh juga menyimpan hasrat untuk mengendalikan sebuah festival besar-besaran sebagai menyokong karyawan tempatan.
ˇ°Jika sebelum ini kita menyaksikan persembahan artis luar dalam skala yang besar, mungkin selepas ini giliran pemuzik kita pula menikmati keistimewaan yang sama. Kami akan mengumpulkan semua band yang telah dipilih dari sesi gig ini di atas satu pentas,ˇ± katanya.
Sementara itu, peluang yang diberikan Xfresh ini digunakan sebaik mungkin oleh kumpulan yang terpilih untuk menyertai sesi Open Band ini.
Gitaris kumpulan San CF Band, Merlvyn Kho menyifatkan ruang yang diberikan Xfresh itu mampu memberikan keyakinan kepada mereka untuk berdepan dengan penonton.
ˇ°Rasa seronok apabila melihat ramai penonton membanjiri kawasan itu. Dalam situasi sekarang ini diakui band indie macam kami ini memang sukar untuk mencari tempat untuk membuat gig. Kalau adapun mungkin ia tidak seperti yang ditawarkan Xfresh. Sebagai contoh dari segi promosi dan juga sistem bunyi.
ˇ°Justeru, apabila kami mendapat tahu mereka ingin menganjurkan X-Gig, kesempatan seperti itu tidak harus dilepaskan apatah lagi apabila dimaklumkan yang mereka juga akan menyiarkan lagu kumpulan yang layak di stesen radio mereka,ˇ± katanya.
Dan bagi vokalis kumpulan The Peanuts, Ikram, X-Gig umpama satu wadah buat kumpulan indie mengasah bakat mereka dan sekali gus mengiktiraf pemuzik tempatan serta tidak mengenepikan mereka.
Selain kumpulan baru, X-Gig itu turut menampilkan persembahan band popular tempatan seperti Pop Shuvit, Bunkface, Deja Voodoo Spell dan The Times.
INFO:# Penyertaan masih dibuka dan jika ada kumpulan yang berminat bolehlah mendaftar di laman web www.xfresh.com/xgig atau dengan menghantar emel ke webmaster@xfresh.com.
# Mereka juga perlu menyertakan klip audio dengan lagu asli sepanjang sekurang-kurangnya 30 saat bersama pendaftaran.
# Di samping itu, lirik lagu, biodata ahli dan gambar band turut perlu disertakan. Atau, mereka boleh juga memberi pautan laman web masing-masing (seperti MySpace) yang mengandungi hasil kerja mereka, jika ada.